Musim lepas, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain tengah JDT, Safiq Rahim menanduk muka pemain sayap lincah Terengganu, Faisal Halim ketika aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim.

Tindakan itu menyebabkan JDT terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Safiq dilayangkan kad merah oleh pengadil sekaligus mencetus perdebatan hangat dalam kalangan penyokong di media sosial.

Lebih 3 bulan insiden itu berlalu, kedua-dua pemain tersebut kini kembali bersatu dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi aksi persahabatan antarabangsa di Singapura.

Bercakap kepada pemberita, Faisal atau dipanggil sebagai ‘mickey’ sudah melupakan insiden tersebut dan beliau tidak menyimpan sebarang dendam terhadap pemain tengah berpengalaman itu.

“Kami kadang-kadang bermain sebagai satu pasukan dalam sesi latihan, saya di bahagian kanan dan dia (Safiq) di tengah, bila saya minta bola dia (Safiq) tetap beri.

“Memang Safiq sebenarnya orang yang baik cuma biasa la orang tua (pemain senior) dia suka marah-marah,” katanya seperti dipetik dalam Bernama.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon sudah pun berlepas ke Singapura hari ini dengan 25 orang pemain. 5 pemain yang digugurkan ialah Daren Lok, Syahmi Safari, Sharul Nazeem, Hong Wan dan Hakimi Abdulllah.

Selain itu 3 pemain yang berpangkalan diluar negara iaitu Luqman Hakim (KV Kortrijk), Dion Cools (Zulte Waregem) dan Liridon Krasniqi (Odisha) turut tersenarai dalam perlawanan FAS Tri-Nations Series 2022 ini.

Mereka dijadualkan menentang Filipina pada hari esok dan kemudian bertemu tuan rumah, Singapura pada 26 Mac di Stadium Nasional. Semua perlawanan ini berlangsung pada pukul 8 malam.

Harimau Malaya juga akan menentang pasukan Liga Singapura dari Jepun, Albirex Niigata sebagai perlawanan pemanas badan sebelum pulang ke tanah air.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

11 Pemain JDT Tersenarai Dalam 25 Pemain Ke FAS Tri-Nations Series 2022 Di Singapura

Masalah Keluarga Punca Rizal Ghazali Tidak Dapat Sertai Skuad Kebangsaan

Zhafri Yahya Akhirnya Dipanggil Sertai Skuad Harimau Malaya

Kim Pan-gon Minta Semua Pihak Bersabar

Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya